
Kredit Foto: Harian Metro
PORT DICKSON | "Ketika
itu, kami hanya melaungkan Allahuakbar dan menangis sekuat hati,” kata Ain
Zulaika Zamuri, 19, selepas rakannya yang juga penuntut kolej ditemui mati
dipercayai akibat dibunuh di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di Port
Dickson, semalam.
Dalam
kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mayat Nur Alya Damia Hairi, 19 yang juga
merupakan penuntu Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) ditemui orang awam dan
kemudiannya memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Menurut Ain
Zulaikha Zamuri, 19, berkata, sebelum kejadian, Nur Alya Damia yang juga rakan
sekelas dan sebiliknya itu ada memaklumkan ingin keluar untuk bertemu teman
lelakinya di kawasan berdekatan kira-kira jam 9.00 malam.
Penuntut Diploma
Rangkaian Komputer itu berkata lagi, berikutan tidak sedap hatinya, dia terus
menghubungi teman lelaki mangsa dan terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu
tidak pun pergi bergi bertemu Nur Alya Damia.
Oleh yang
demikian, Ain Zulaikha pantas mencapai kunci motosikalnya bersama dua lagi
rakan sebilik untuk bertindak mencari Nur Alya Damia. Sebaik sahaja tiba di
Taman PD Permata, mereka sudahpun melihat anggota polis dan orang ramai
berkumpul di tepi jalan.
Ketika
mendekati kawasan itu, Ain terkejut apabila mendapati mayat itu adalah Nur Alya
Damia.
“Tidak
disangka perkenalan kami begitu singkat kerana kami masih berada di semester
pertama," katanya.
Ain Zulaika berkata, mangsa adalah anak sulung daripada tiga
beradik dan berasal dari Klang, Selangor.
Sementara itu, saksi kejadian Izwan Mustaffa, 30 berkata, dia
menemui mayat mangsa ketika mahu membuang sampah di depan rumahnya.
Dia yang ketakutan kemudian memaklumkan jiran sebelum panggilan
dibuat terhadap pihak polis.
Juruteknik kilang itu berkata, dia terkejut apabila pihak polis
yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan remaja itu sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi
Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, sepasukan anggota forensik
bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam.
Katanya, pemeriksaan menemui kesan jerut pada leher mangsa dan
remaja itu dipercayai dibunuh.
"Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut
mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah
siasat.
0 Comments