Kisah berlatarbelakangkan sekolah sememangnya cukup ringan dan mudah dihadam, dengan gelagat lucu yang ditampilkan oleh watak-watak unik yang penuh warna dan ragam tersendiri. Akan datang, TV3 mempersembahkan Cikgu Diva, sebuah penceritaan yang menggambarkan senario kehidupan sekolah masa kini dengan daya tarikannya, sambil menekankan kepentingan peranan guru dalam kehidupan pelajar.
Bakal menemui penonton di slot Lestary mulai hari ini, 31 Januari 2025, setiap Jumaat dan Sabtu pada jam 9.00 malam, Cikgu Diva menampilkan barisan pelakon muda berbakat seperti Eyka Farhana, Fitri Farok, Syad Mutalib, Kana Fly, Duerra Mitilda, Syed Irfan, Danish Hazriq dan ramai lagi. Dengan 8 episod yang penuh gelak tawa dan cerita yang menghiburkan, drama ini mengetengahkan suasana sekolah yang ceria dengan selitan nilai kekeluargaan, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
SINOPSIS DRAMA CIKGU DIVA
Pengarahan hebat oleh Kyoll Hamzah, Cikgu Diva mengisahkan Cikgu Ros (Eyka Farhana), seorang guru Bahasa Melayu yamg memikat dengan kecantikan dan pesonanya yang luar biasa. Suatu hari, pengetua memanggil satu mesyuarat tergempar dan melantik Cikgu Ros sebagai penasihat rumah sukan biru serta guru kelas Tingkatan Dua Baiduri, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan kariernya sebagai pendidik.
Dalam hal sukan, ini merupakan cabaran besar buat Cikgu Ros yang tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti sukan dan jarang mengamalkan pemakanan sihat, lebih-lebih lagi dengan rumah sukan biru yang sering kali menduduki tempat tercorot di Hari Sukan Sekolah. Oleh itu, dia cuba mendapatkan bantuan daripada kakaknya serta tiga pelajar rumah sukan biru iaitu Amir, Haikal dan Hani. Namun, Haikal enggan membantu meskipun mempunyai minat dalam sukan, disebabkan masalah keluarga yang sedang dihadapinya.
Selain berdepan cabaran membimbing rumah sukan biru dan mejaga kelas, Cikgu Ros juga sering bertelagah dengan Cikgu Adam (Fitri Farok), cikgu penasihat rumah kuning yang setiap tahun muncul juara. Keadaan menjadi lebih kompleks apabila wujud perasaan cinta bersegi antara Cikgu Ros, Cikgu Adam, Cikgu Sofea (Syad Mutalib) dan Cikgu Kana (Kana Fly). Rasa cemburu terhadap hubungan rapat antara Cikgu Ros dan Cikgu Adam malah membuatkan Cikgu Sofea merancang untuk menjatuhkan Cikgu Ros.


Dapatkah Cikgu Ros mengesan muslihat licik Cikgu Sofea? Mampukah Cikgu Ros memperoleh sokongan yang cukup untuk membawa rumah sukan biru meraih kemenangan?
Bukan itu sahaja, drama yang diterbitkan oleh Anomali Media Sdn Bhd ini juga dikatakan penampilan istimewa dan sulung buat Kana Fly dalam dunia lakonan drama. Dikenali sebagai pempengaruh dengan kandungan jenaka dan gaya santai di media sosial, Kana Fly menyatakan, "Saya sangat teruja dan bersyukur dengan peluang yang diberikan selepas sekian lama hanya menghasilkan kandungan di media sosial. Pengalaman ini benar-benar sesuatu yang baharu dan berharga buat saya, terutama apabila dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang hebat dan sangat rendah diri. Sebagai drama pertama saya, saya harap penonton dapat jatuh cinta dengan watak saya dan watak-watak lain, kerana cerita ini memang sangat dekat dengan kehidupan dan berupaya untuk mengimbau zaman sekolah."
Nantikan episod pertama Cikgu Diva hari ini di slot Lestary TV3 atau strim 24 jam lebih awal melalui Tonton di www.tonton.com.my. Penonton juga boleh muat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.

3 Comments
Menarik juga jalan cerita Cikgu Fiva ni... Ade masa nanti nak gi tgk kat Tonton laa
ReplyDeleteCantiknya cikgu cam ni!
ReplyDeletesebagai cikgu sekolah, sy amat teruja utk menonton drama ini...
ReplyDelete